Tiga NGO bantah jual arak di Nilai Perdana

Awalludin (tiga dari kanan) menyerahkan memorandun bantahan kepada penolong pengurus sebuah kedai serbaneka di Nilai Perdana, Nilai.
Awalludin (tiga dari kanan) menyerahkan memorandun bantahan kepada penolong pengurus sebuah kedai serbaneka di Nilai Perdana, Nilai.
A
A
A

NILAI - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan penduduk di Nilai Perdana di sini membantah penjualan minuman keras di kedai serbaneka di kawasan itu.

Memorandum bantahan diserahkan wakil NGO Persatuan Penduduk Taman Serunai Nilai Perdana, Jawatankuasa Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai kepada penolong pengurus sebuah kedai serbaneka di kawasan itu pada Ahad.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Serunai Nilai Perdana, Awalludin Ismail berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dalam tempoh 10 hari selepas memorandum itu dihantar bagi memastikan pemilik perniagaan bersikap cakna.

"Jika tiada sebarang tindakan dilakukan kita akan ambil tindakan drastik lain termasuklah memboikot perniagaan di premis itu.

"Mereka kena faham, 90 peratus penduduk di kawasan Nilai Perdana ini beragama Islam. Jadi tak sesuai arak dijual di sini sekali gus mengelakkan golongan muda terjebak," katanya.

Yang Dipertua ISMA Nilai, Afizhi Atan pula berkata, kedai yang berada di kawasan majoriti penduduk beragama Islam sepatutnya tidak dibenarkan menjual arak.

"Bantahan ini bukan saja kita buat di kawasan Nilai Perdana, tetapi juga di tempat lain yang lokasinya mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

"Kita tahu kesan buruk arak ini dan sebab itu kita sedang menjayakan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak," katanya.

Sementara itu Pengerusi Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana, Rosli Mohd Derus berkata, bantahan penjualan arak berkenaan akan dilakukan dengan bijaksana agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

Katanya, ia juga sebagai menyahut seruan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang dilancarkan oleh ISMA pada awal Mac lalu.