Polis tahan tiga lelaki terlibat judi dalam talian

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Mazuki)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Mazuki)
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seramai tiga lelaki ditahan polis disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di dua serbuan berasingan sekitar kawasan Tanjung Piandang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan dilakukan susulan terkesan satu klip video yang memaparkan kegiatan itu tular di media sosial.

Menurutnya, serbuan dilakukan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

"Hasil serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun manakala serbuan kedua berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 32 tahun.

"Ketiga-tiga tangkapan itu disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan mereka ditahan reman di Balai Polis Bagan Serai untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mazuki berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan pekerja premis direman sehari untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jelas beliau, sebanyak 351 serbuan aktiviti perjudian haram dilakukan sejak Januari tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, 80 serbuan dilakukan di kawasan Tanjung Piandang dengan ada antara premis telah diserbu empat kali.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta terlibat dalam aktiviti perjudian," katanya.

Mazuki berkata, sebarang maklumat boleh menghubungi hotline IPD Kerian di talian 05-7212222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian melaporkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim 'terjah' premis yang dipercayai menjalankan kegiatan judi dalam talian didorong perasaan geram berikutan kerap menerima aduan daripada penduduk kampung.

Hasnul Zulkarnain menerusi akaun Facebook miliknya telah memuat naik empat video yang mencecah lebih 41,000 tontonan daripada netizen memaparkan beliau memasuki beberapa premis yang dipercayai menjalankan perjudian dan nombor ekor haram sekitar Titi Serong dan Bagan Tiang pada Ahad.