Rumah dipenuhi timbunan barang lusuh, pemilik dikenakan notis

Anggota penguat kuasa MBK mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik sebuah rumah yang menjadikan pekarangan rumahnya tempat timbunan barangan lusuh di Bukit Setongkol, Kuantan.
Anggota penguat kuasa MBK mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik sebuah rumah yang menjadikan pekarangan rumahnya tempat timbunan barangan lusuh di Bukit Setongkol, Kuantan.
A
A
A

KUANTAN – Pemilik sebuah rumah mewah di Bukit Setongkol di sini dikenakan notis kacau ganggu selepas pekarangan rumahnya dipenuhi timbunan barangan lusuh.

Persekitaran kawasan terbabit dipenuhi pakaian lama, plastik, besi dan kertas yang boleh menyebabkan risiko pembiakan nyamuk aedes serta tikus.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, notis dikeluarkan terhadap pemilik kediaman supaya membersihkan kawasan rumah tersebut.

“Kita keluarkan notis di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah penghapusan kacau ganggu.

“Pemilik rumah diberikan tempoh tujuh hari untuk membersihkan barangan lusuh terbabit.

"Jika gagal tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapnya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau menjelaskan, denda sebanyak RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas individu, jika didapati bersalah.

Norkamawati menambah, MBK akan memastikan orang ramai bertanggungjawab menjaga persekitaran rumah sekali gus suasana kejiranan menjadi semakin baik.

“Sikap segelintir masyarakat yang memandang enteng penjagaan kebersihan mengundang kepada penyakit,” katanya.