Saya kerap terima aduan judi dalam talian: ADUN Titi Serong

Tangkap layar akaun Fecabook milik Hasnul Zulkarnain 'terjah' premis didakwa premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di Parit Buntar. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar akaun Fecabook milik Hasnul Zulkarnain 'terjah' premis didakwa premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di Parit Buntar. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

PARIT BUNTAR- Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim 'terjah' premis yang dipercayai menjalankan kegiatan judi dalam talian didorong perasaan geram berikutan kerap menerima aduan daripada penduduk kampung.

Menurutnya, premis yang aktif beroperasi sekitar kawasan Parit Buntar itu dilaporkan sering dikunjungi penduduk tempatan sejak setahun yang lalu.

"Ketika menghadiri kenduri kahwin, seorang penduduk mengadu ahli keluarganya terlibat dengan kegiatan ini dan saya melihat perkara ini tidak boleh berdiam lagi.

"Saya berkongsi video itu bukan untuk melanggar undang-undang tetapi saya ada hak menegur sekali gus dapat membuka mata pihak berkuasa untuk melihat perkara ini.

"Sekiranya dibiarkan tanpa ada tindakan nanti ada yang beranggapan seolah-olah mereka ini ada perlindungan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Hasnul Zulkarnain menerusi akaun Facebook miliknya telah memuat naik empat video yang mencecah lebih 41,000 tontonan daripada netizen memaparkan beliau memasuki beberapa premis yang dipercayai menjalankan perjudian dan nombor ekor haram sekitar Titi Serong dan Bagan Tiang pada Ahad.

Video tersebut mendapat lebih 100 perkongsian dan rata-rata komen warga maya menyokong usaha ADUN berkenaan membanteras kegiatan perjudian itu.

Katanya, isu berkenaan sering dibangkitkan dalam mesyuarat tindakan daerah setiap bulan dan sudah ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

"Polis pernah mengambil tindakan tetapi kegiatan ini makin menjadi-jadi pula. Tahun lalu ada lima premis tetapi kali ini saya lihat ada tujuh premis pula.

"Pelbagai modus operandi digunakan, ada yang mengubah lokasi operasi malah berniaga dari dalam kereta," katanya.

Jelas beliau, kegiatan itu boleh menyebabkan masalah sosial terutama kepada golongan muda sekiranya tidak dibendung awal.

"Tekad saya hanya satu menyelamatkan anak-anak Melayu kita daripada terjerumus masalah judi yang boleh menjejaskan kualiti hidup.

"Saya sempat meninjau pagi ini dan didapati premis-premis terlibat telah tutup," katanya.

Tambahnya, beliau telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut susulan video tular itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat ketika dihubungi memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenai perkara itu.