Pengarah Yayasan Kemajuan India hadapi 11 tuduhan pecah amanah

Govindarajoo diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah pada Isnin.
Govindarajoo diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan, M Govindarajoo berdepan 11 pertuduhan pecah amanah yang melibatkan dana RM86,000 pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Govindarajoo, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Govindarajoo didakwa secara curangnya telah menyalahgunakan wang berjumlah RM86,000 kepunyaan Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan di Maybank Berhad cawangan Taman Inderawasih, Seberang Perai Tengah pada 25 dan 26 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Govindarajoo mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan yang dilakukan di tarikh, tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, Govindarajoo yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan dia yang bekerja sebagai konsultan tidak mempunyai pendapatan tetap dan dua daripada tiga anaknya masih menuntut di universiti.

Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin berserta syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.