Peningkatan 100 peratus kes pembahagian harta pusaka

Ali Biju - Foto Bernama
Ali Biju - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menjangkakan menerima peningkatan kes pembahagian harta pusaka daripada 60,000 kepada 120,000 kes setahun.

Timbalan Menterinya, Datuk Ali Biju berkata, peningkatan 100 peratus itu berlaku selepas penguatkuasaan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995 [Akta 98] dikuatkuasakan.

"Jangkaan kes ini perlu dihadapi oleh Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) walaupun sekarang mempunyai tunggakan 72,348 kes sedia ada susulan gangguan operasi akibat pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, draf Peraturan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 telah selesai disemak oleh Unit Undang-undang kementerian dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 24 Jun lalu untuk pertimbangan.

"Apabila peraturan tersebut dimuktamadkan, pindaan akta itu secara teknikalnya sudah pun sedia untuk dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Persidangan Pentadbiran Tanah sempena sambutan Hari Tanah Negara di sini pada Isnin.

Beliau berkata, seramai 100 kakitangan tambahan telah dilantik dengan kontrak selama tiga tahun sebagai penyelesaian jangka pendek menangani tunggakan kes pembahagian pusaka sedia ada.

"Kebiasaannya satu kes akan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya.

Ali dalam ucapannya berkata, kementerian juga komited untuk melaksanakan jajaran pendigitalan tanah merentasi sempadan menerusi Sistem e-Tanah.

"Sistem ini membolehkan orang awam termasuk komuniti perniagaan yang berurusan dengan pentadbiran kerajaan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai dan semakan status permohonan lebih lancar serta mudah," katanya.

Ujarnya, sejak kejayaan pelaksanaan Sistem e-Tanah di Kuala Lumpur, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan ke lapan negeri dan dua wilayah menerusi kerjasama awam dan swasta.

"Sehingga kini, sistem ini berjaya dibangunkan di Perak, Putrajaya dan Labuan dan jangkaan Sistem e-Tanah di negeri-negeri lain dapat dilaksanakan menjelang 2024," katanya.