Wan Zahidi mahu sambung legasi Harussani

Wan Zahidi (kanan) memulakan tugas secara rasmi sebagai Mufti Perak dan diiringi Zamri di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Wan Zahidi (kanan) memulakan tugas secara rasmi sebagai Mufti Perak dan diiringi Zamri di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh memulakan tugas secara rasmi, hari ini selepas menerima watikah pelantikan sebagai Mufti Perak daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu.

Ketibaan beliau di Kompleks Islam Darul Ridzuan kira-kira jam 8.10 pagi disambut Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bersama pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak.

Beliau kemudiannya dibawa ke pejabatnya di aras 1, Kompleks Islam Darul Ridzuan dan meluangkan masa bersama Zamri serta pegawai bagi mendapatkan maklumat mengenai jabatan berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Wan Zahidi mengakui teruja apabila kali ketiga kembali bertugas di Perak sejak tahun 1975 bermula sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar, di sini diikuti dengan lantikan sebagai Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan dan kemudiannya dilantik sebagai Mufti Perak.

Menurutnya, tugas sebagai mufti memberi peluang untuk beliau mengembangkan lagi syiar Islam yang menjadi antara tumpuan utama selain menyambung legasi ditinggalkan bekas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

"Arwah (Harussani) sahabat lama saya sebelum menjadi mufti lagi. Semasa Harussani menjadi kadi di Pulau Pinang, masa itu kita aktif dalam ceramah-ceramah. Saya sering berceramah dengan beliau dan dia sahabat saya. Saya merasa terharu dan insya-ALLAH kita akan sambung misi visi yang telah arwah jalankan.

Wan Zahidi (kiri) bertemu Zamri (dua dari kiri) dan pegawai Jabatan Mufti Perak ketika memulakan tugas hari pertama sebagai Mufti Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Wan Zahidi (kiri) bertemu Zamri (dua dari kiri) dan pegawai Jabatan Mufti Perak ketika memulakan tugas hari pertama sebagai Mufti Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

"Beliau juga telah membuat satu perkembangan yang hebat di Perak dalam konteks agama Islam. Pemikirannya juga agresif dan dia seorang yang berani seperti kita tahu menyuarakan pandangan-pandangan yang dilihat perlu disuarakan dalam konteks mempertahankan kesucian agama Islam. Insya-ALLAH, saya akan mengikut jejak langkah beliau," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Zahidi turut menjunjung kasih atas kepercayaan Sultan Nazrin untuk melantik beliau ke jawatan itu selain memberi penghargaan kepada kerajaan negeri Perak.

Pada 17 Jun lalu, Wan Zahidi yang merupakan anak jati Gerik itu diumumkan sebagai Mufti Perak yang baharu menggantikan Allahyarham Harussani.

Beliau sebelum ini juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia selain pernah menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia.