Silat: Pastikan budaya Melayu terus diwarisi di peringkat sejagat

Pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan (kanan) ketika beraksi menentang pesilat dari Singapura Nadhrah Sahrin pada perlawanan akhir Tanding kategori A Wanita di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer keroh pada Ahad. Foto Bernama
Pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan (kanan) ketika beraksi menentang pesilat dari Singapura Nadhrah Sahrin pada perlawanan akhir Tanding kategori A Wanita di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dekat Ayer keroh pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SENI silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, seni silat juga terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, budaya persilatan yang sudah lama bertapak perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

"Kita patut berbangga kerana dunia persilatan Melayu telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan malah telah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

"Terbaharu, Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) yang juga Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Lebih 500 peserta dari 40 negara mengambil bahagian pada edisi kejuaraan ke-19 yang berlangsung selama enam hari sejak Selasa lepas hingga malam ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Pesaka bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat dan membantu persekutuan itu mengembangkan seni silat di persada dunia.

"Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama.

"Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan serta terus relevan sepanjang masa," katanya.

Ismail Sabri berkata, penganjuran kejuaraan silat di bumi bersejarah ini amat signifikan memandangkan Melaka kaya dengan peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu yang tersohor, berjuang demi mempertahankan agama dan tanah air terutama ketika zaman Kesultanan Melaka.

"Penganjuran kali ini adalah satu penghormatan besar kepada negara sebagai tuan rumah kepada lebih 40 negara yang mengambil bahagian dalam kejuaraan ini.

"Malaysia berbangga dan berbesar hati kerana dapat menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia dan berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama ini dapat dianjurkan," katanya.

Perdana Menteri turut memuji impak filem 'Mat Kilau' yang ditayangkan di pawagam ketika ini.

"Saya percaya ramai yang telah menonton filem ini yang diinspirasikan daripada perjuangan dan keberanian pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam menentang penjajahan.

"Impak filem itu begitu luar biasa, bukan hanya mencatat kutipan sehingga RM90 juta hanya dalam tempoh 33 hari ditayangkan malah kepada persatuan silat apabila menerima banyak ahli baharu yang berminat untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.

"Ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab Orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam," katanya. - Bernama