Nafas jumpa Menteri Besar Terengganu, Kelantan

Zamri (duduk, tengah) mencuba permainan tradisional kertuk sebelum merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Kangkong Pasir Mas, pada Ahad.
Zamri (duduk, tengah) mencuba permainan tradisional kertuk sebelum merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Kangkong Pasir Mas, pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk berbincang mengenai status tanah hendak dijadikan kawasan tanaman jagung bijian.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan tanah bekas tanaman tembakau yang sesuai untuk tanaman berkenaan.

Zamri memberitahu, perbincangan yang akan diadakan antara 14 dan 15 Ogos depan itu merangkumi sama ada tanah yang sudah dikenal pasti itu ialah hak milik individu atau kerajaan negeri.

"Sebelum ini, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agong Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Kangkong Pasir Mas di sini, pada Ahad.

Tambah beliau, buat masa ini, kira-kira 10,000 hektar tanah didapati sesuai untuk tanaman tersebut termasuk di Bachok, Pasir Puteh dan Besut.

Zamri berkata, pada masa sama Nafas sedang berbincang dengan beberapa syarikat yang mahu melabur dengan pertubuhan itu untuk penanaman besar-besaran jagung bijian.

"Usaha itu akan mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijian yang merupakan antara bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan.

"Malaysia mengimport jagung bijian dengan nilai lebih kurang RM6 bilion setahun," katanya.

Nafas melalui kenyataan sebelum ini memaklumkan, sudah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 untuk tanaman jagung bijian di Kelantan dan Terengganu.