Bomba sukarela Taman Sukun dapat balai baharu
BUKIT MERTAJAM - Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun di sini bakal mempunyai balai baharu sekali gus dapat menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di pusat operasi mereka sebelum ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pembinaan balai bomba baharu itu diharap akan meningkatkan lagi perkhidmatan serta operasi pasukan bomba sukarela dalam memberikan bantuan kecemasan kepada masyarakat di Bukit Mertajam khususnya di Taman Sukun.
Menurutnya, bagi mencapai matlamat itu, beliau mengumumkan sumbangan RM50,000 bagi membina balai berkenaan
“Sumbangan ini amat penting bagi memudahkan kelancaran projek pembinaan ini, sekali gus meningkatkan kecekapan pasukan ketika menjalankan tugas-tugas secara sukarela demi menjaga rakyat yang tinggal dalam kawasan Bukit Mertajam ini khususnya dan Daerah Seberang Perai ini amnya.
“Sumbangan kelompok ini sememangnya tidak dapat dinafikan (yang mana) dengan adanya pasukan bomba sukarela peringkat komuniti, mereka senantiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang menghadapi kesulitan terutama apabila berlakunya kebakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah bagi projek berkenaan di Taman Sukun di sini pada Ahad.
Hadir sama Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga Penasihat Persatuan Bomba Sukarela Negeri Pulau Pinang; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kawasan Bukit Mertajam Seberang Perai Tengah, Datuk Lee See Nee.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut berharap lebih ramai individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil menghulurkan sumbangan untuk projek berkenaan.
Jelasnya, kos pembinaan balai bomba baharu itu dianggarkan menelan belanja kira-kira RM350,000 dan persatuan masih belum mempunyai dana yang cukup pada masa ini.
Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah bersetuju menyewakan tanah untuk tujuan pembinaan balai bomba baharu tersebut, dengan bayaran hanya RM112 setahun.