UPKO tidak 'lompat parti', hanya tinggalkan gabungan BN: Madius

Wilfred Madius Tangau
Wilfred Madius Tangau
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) pada 2018 bukan sebagai 'lompat parti'.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sehingga kini beliau bersama rakan-rakan masih berada dalam UPKO dan tidak pernah meninggalkan parti itu.

"Saya dan rakan-rakan tetap dalam UPKO dan masih bersama dari dahulu hingga kini. Tidak pernah meninggalkan UPKO.

'Tetapi hanya keluar dari gabungan BN, suatu keputusan yang dibuat secara sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO," katanya dalam kenyataan, pada Ahad sebagai respons terhadap kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Khamis lalu bahawa UPKO dipimpinnya mengulangi sejarah kejatuhan kerajaan Sabah dengan keluar BN dan membentuk kerajaan bersama Parti Warisan (Warisan) pada 2018.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran mengingatkan bahawa tindakan UPKO keluar BN disusuli oleh parti tempatan dari Sabah dan Sarawak.

"Selepas beberapa minggu keputusan UPKO keluar BN, PBS turut mengambil keputusan keluar dan meninggalkan BN. Seterusnya, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) juga keluar dari BN.

"Kalau langkah UPKO dianggap 'lompat', maka tindakan PBS keluar BN juga adalah perbuatan melompat. Kenapa kami saja yang diburuk-burukkan," katanya.

Sehubungan itu, Madius mendakwa Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) tidak memahami konsep dan definisi lompat parti.

"Saya hairan, bagaimana Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai seorang menteri kabinet tidak memahami konsep dan definisi lompat parti ini sedangkan beliau berada dalam kabinet persekutuan yang membincangkan dan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, malah beliau hadir semasa Sesi Pembentangan di Dewan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, UPKO berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya perbuatan melompat parti.

Sebelum itu, dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga.