Johor sediakan modul atasi ajaran sesat

Mohd Fared Mohd Khalid berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar pada Sabtu.
Mohd Fared Mohd Khalid berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar pada Sabtu.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam proses menyediakan Modul Dewan Pakar Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai rujukan orang ramai, sekali gus sebagai usaha mengatasi masalah ajaran sesat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, modul berkenaan akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terlebih dahulu sebelum diterbitkan.

"Bilakah (tarikh) pelaksanaannya, saya akan umumkan selepas disembah maklum dan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar di sini pada Sabtu.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Mohd Fared, sejak 1979 sehingga tahun lepas, sebanyak 42 ajaran sesat dikesan di negeri itu termasuk Isa Bin Hussein, Ayah Guru Gunung, Suhaini Mohamad, Hizbut Tahrir, Wahabi, Kumpulan Layar Bahtera, Milah Ibrahim dan Ilmu Ma’rifat.

"Majlis Fatwa Negeri Johor meneliti setiap ajaran yang berlangsung di negeri ini, mana-mana yang tidak bersamaan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, menyimpang itu dikategorikan sebagai ajaran sesat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, pihaknya akan menghasilkan Modul Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dalam usaha menghimpunkan sistem pendidikan agama di Johor.

Terdahulu ketika berucap, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri Johor merancang menyediakan kemudahan WiFi di lebih 800 masjid dan surau dalam usaha mengimarahkan pusat ibadah umat Islam di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi agar setiap pelajar tahfiz di Johor diwajibkan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain pelajar sekolah agama perlu khatam al-Quran pada darjah enam.

Katanya, langkah itu bertujuan melahirkan pemimpin Islam yang berwibawa sekali gus membantu dalam memacu Johor ke arah kemajuan. - Bernama