'Atuk ingat nenek cuma tidur'

Tangkap layar video yang memaparkan Suratman kelihatan sebak apabila dimaklumkan tentang kematian isterinya selepas selesai menunaikan solat.
Tangkap layar video yang memaparkan Suratman kelihatan sebak apabila dimaklumkan tentang kematian isterinya selepas selesai menunaikan solat.
A
A
A

SHAH ALAM - Video memaparkan reaksi seorang warga emas yang terlalu sedih dan kecewa selepas dimaklumkan mengenai pemergian isterinya tular di media sosial sehingga mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Cucu pasangan itu, Adlina Azli, 25, berkata, video berkenaan merakam detik ibunya, Norazaliza Awang memaklumkan kepada bapa mentuanya, Suratman, 77, bahawa isterinya telah meninggal dunia.

Menurut Adlina ketika kejadian, datuknya baru sahaja selesai menunaikan solat sebelum dimaklumkan mengenai pemergian neneknya, Siti Hamsaton yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu.

"Atuk macam tak percaya. Sebelum solat dia baru sahaja berborak dengan nenek dan sebab nenek dah terlantar lama, atuk ingat nenek cuma tidur dan belum 'pergi' lagi.

"Atuk suruh ibu periksa betul-betul kerana dia tidak percaya nenek sudah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian.

Gambar kenangan Adlina (kiri) bersama ahli keluarganya.
Gambar kenangan Adlina (kiri) bersama ahli keluarganya.

Menurutnya, reaksi Suratman yang meraung selepas menerima berita tersebut turut mengejutkan ahli keluarga.

Ini kerana lelaki berusia 77 tahun itu dikenali sebagai seorang ketua keluarga yang kuat dan tabah.

Artikel Berkaitan:

"Ibu ingatkan atuk akan tabah sebab nenek sudah lama sakit. Tetapi bila nenek pergi, atuk terus jadi sangat sedih dan hilang semangat.

"Bila tengok atuk meraung dan terlalu bersedih, ibu pun jadi tidak kuat," ujarnya.

Adlina berkata, hubungan kasih sayang antara datuk dan neneknya sangat istimewa sepanjang kehidupan mereka sebagai suami isteri.

Menurutnya, Suratman tidak pernah memarahi isterinya dan sentiasa berusaha memenuhi apa sahaja yang dihajati arwah.

Sambutan hari lahir Siti Hamsaton pada 8 Januari lalu dirancang oleh Suratman.
Sambutan hari lahir Siti Hamsaton pada 8 Januari lalu dirancang oleh Suratman.

"Setiap kali hari lahir nenek, atuk akan rancang kejutan dan belikan hadiah. Sampai ke akhir hayat pun atuk masih panggil nenek dengan panggilan sayang.

"Masa nenek sakit, atuk sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan rawatan terbaik termasuk rawatan perubatan dan rawatan Islam," katanya.

Siti Hamsaton meninggal dunia pada 12 Jun lalu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kemahal, Triang, Pahang.

Adlina berkata, video yang dikongsikan itu sekadar untuk berkongsi momen yang menunjukkan betapa mendalamnya kasih sayang antara datuk dan neneknya sehingga ke penghujung hayat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!