Himpunan #Turun: Ahli politik antara dipanggil rakam keterangan

Sekitar 100 orang hadir pada perhimpunan di hadapan Pusat Beli Belah Sogo 23 Julai lalu.
Sekitar 100 orang hadir pada perhimpunan di hadapan Pusat Beli Belah Sogo 23 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil empat lagi individu dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan berhubung siasatan perhimpunan #Turun di hadapan Pusat Beli Belah Sogo di sini 23 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, antara yang dipanggil termasuk ahli politik.

"Kertas siasatan diserahkan semula kepada kami untuk dilengkapkan dengan mengambil keterangan empat lagi individu.

"Empat individu berkenaan yang termasuk ahli politik akan diambil keterangan dalam masa terdekat supaya kertas siasatan itu dapat dirujuk kembali kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui di program Road March Sempena Peringatan Hari Polis ke 215 di Dataran Merdeka, di sini, pada Sabtu.

Sinar Harian pada 23 Julai melaporkan, polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan tersebut kerana dianjurkan tanpa permit.

Susulan itu, pihak polis sudah merakam keterangan 27 individu bagi membantu siasatan.

Dianggarkan sekitar 100 individu telah menyertai himpunan itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan cubaan mereka untuk berarak ke Dataran Merdeka gagal selepas disekat polis.