'Elak peristiwa pencerobohan di Tanduo berulang'

Mohd Shafie ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di Kota Belud pada Sabtu.
Mohd Shafie ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di Kota Belud pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BELUD - Parti Warisan (Warisan) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan mengancam keselamatan penduduk di kawasan pantai timur Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, laporan mengenai kumpulan atau individu yang mengeluarkan dokumen pengenalan diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu adalah membimbangkan kerana ia berkaitan dengan isu tuntutan terhadap Sabah oleh pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu.

"Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah telah menyatakan bahawa polis akan menyiasat kes berkaitan SSDI dan kita mengharapkan agar siasatan itu dilakukan dengan cepat dan teliti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung taklimat tertutup berkaitan isu waris kesultanan Sulu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang diadakan pada Jumaat di Kota kinabalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menegaskan bahawa Warisan mengulangi gesaan perlunya kerajaan negeri dan Persekutuan menangani ancaman tuntutan itu dan meningkatkan tahap keselamatan di Sabah.

"Kami bukannya mahu menimbulkan kebimbangan atau panik tetapi selagi tiada tindakan serius dilakukan, ancaman keselamatan ini akan terus membelenggu dan menghantui rakyat Sabah khususnya," katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu turut berkata, rakyat di negara ini terutama di Lahad Datu terpaksa berhadapan dengan insiden penculikan dan situasi yang mengancam nyawa selama bertahun-tahun sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Malah beliau berkata, industri pelancongan yang juga antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Sabah terjejas teruk oleh ancaman keselamatan ini.

"Kita tidak harus melupakan peristiwa tragis pencerobohan Tanduo pada tahun 2013. Peristiwa itu adalah sejarah hitam negara dan kita tidak mahu ia berulang.

"Namun selagi kerajaan Persekutuan dan negeri terus memandang ringan perkara ini, ancaman ini akan terus berlegar, menghantui serta mengganggu pemikiran kita," katanya.

Tambah beliau, Warisan mengulangi gesaan agar aspek kawalan dan tahap keselamatan di pantai timur Sabah diperketatkan.

"Insiden terbaharu ini menunjukkan betapa perlunya untuk menempatkan kem tentera di Lahad Datu.

"Kehadiran pasukan keselamatan seperti tentera dapat mempertingkatkan lagi tahap keselamatan selain dapat membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan perairan negara," katanya.