5 negeri dikuasai UMNO perlu laksana RUU Anti Lompat Parti

Ahmad Maslan. - Foto Bernama
Ahmad Maslan. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - UMNO berharap semua kerajaan negeri dapat meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan dibuat sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, seharusnya ia diikuti oleh lima negeri yang dikuasai UMNO.

Katanya, negeri tersebut ialah Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan Perak.

"Kita mengharap agar semua kerajaan negeri akan mengikuti langkah yang diambil oleh ahli-ahli Parlimen dengan menyokong pindaan tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Ini kerana dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga berlaku lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) yang mewujudkan ketidakstabilan politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Arab An-Nur di sini pada Sabtu.

Ahmad Maslan bersama pelajar SMA An-Nur yang memperoleh keputusan Mumtaz Sufi dalam peperiksaan STAM 2021.
Ahmad Maslan bersama pelajar SMA An-Nur yang memperoleh keputusan Mumtaz Sufi dalam peperiksaan STAM 2021.

SMA An-Nur merupakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik peringkat kebangsaan dalam peperiksaan STAM tahun lalu.

Pada Khamis, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dengan mendapat undi majoriti dua pertiga ahli dewan.

Seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian.

RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada 9 Ogos ini dan selepas diluluskan ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum diwartakan.

Pada Jumaat, kerajaan Negeri Pulau Pinang dilaporkan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi meminda perlembagaan negeri itu berkaitan RUU Anti Lompat Parti pada September ini.

DUN Sarawak pula dilaporkan tidak perlu menggubal RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti kerana Akta Pilihan Raya adalah undang-undang Persekutuan, bukannya undang-undang negeri.