Perlis kaji keperluan pinda Undang-Undang Tubuh Negeri

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis akan mengkaji keperluan untuk melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti turut dikuatkuasakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau akan meminta penasihat undang-undang kerajaan negeri melihat Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis terlebih dahulu sama ada mempunyai peruntukan bagi melaksana RUU tersebut di negeri itu.

"RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat itu adalah sesuatu yang menyeluruh dan boleh diguna pakai oleh semua negeri, jadi saya fikir tiada masalah untuk dilaksana di peringkat negeri namun kami akan buat kajian secara terperinci terlebih dahulu.

"Jika perlu, mungkin kami hanya akan buat penambahbaikan pada Undang-Undang Tubuh Negeri sahaja dan jika sebaliknya, kami akan memperkenalkan satu enakmen baharu yang selari dengan dengannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis 2022 di Denai Larian Pengkalan Asam pada Sabtu.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan barisan exco kerajaan negeri.

"Bagi saya perkara itu sesuatu yang baik kerana ia dapat mengelak wakil rakyat lompat parti dan tindakan membeli wakil rakyat yang kesannya amat negatif kepada kestabilan politik negara,” katanya.

Pada Khamis lepas, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air. - Bernama