RUU larangan tukar parti: Negeri diberi kebebasan untuk laksana

Wan Junaidi bercakap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Wan Junaidi bercakap pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika berlangsung di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua negeri diberi kebebasan untuk memilih sama ada ingin melaksanaan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri untuk membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti sepertimana di peringkat persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana setiap negeri mempunyai undang-undang tersendiri.

“Dalam Jawatankuasa Pilihan khas kita ada bincang panjang lebar mengenai memberi kebebasan kepada pihak negeri untuk buat pilihan sendiri. Dalam Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga kita tetapkan begitu (seperti) sama ada hendak ikut Undi18 atau tidak ikut untuk calon bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (yang mana) kita beri kebebasan kepada negeri.

“Kita beri kebebasan tetapi dalam masa sama akan buat libat urus dengan negeri-negeri. Sekarang ini ada empat negeri yang sudah mempunyai undang-undang seperti ini (larangan lompat parti),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Khamis.

Wan Junaidi bagaimanapun optimis negeri-negeri lain akan melaksanakan RUU ini memandangkan undang-undang itu bakal memberikan kebaikan kepada semua pihak.

“Kalau ini (undang-undang) dipandang oleh pihak negeri yang terbaik, mungkin (negeri itu) akan ikut sama juga. Jadi, kita beri kebebasan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Wan Junaidi turut memaklumkan RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis akan dibentangkan di Dewan Negara pada 9 Ogos ini.

“Kita ada garis masa sendiri di mana akan bawa RUU ini ke Dewan Negara pada 9 Ogos. Harap agar pada minggu pertama September ia akan menjadi (diwartakan) RUU,” katanya.