Road March: Diskaun 50 peratus, kaunter PDRM diserbu orang ramai

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membayar saman pada Road March' sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membayar saman pada Road March' sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seperti kebiasaannya, kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 50 peratus sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.

Pada Sabtu dalam program Road March 2022 sempena memperingati Sambutan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka di ibu kota, orang ramai mula berbaris seawal jam 7 pagi walaupun kaunter hanya mula dibuka pukul 9 pagi.

Abu Kassim Karim, 40-an berkata beliau memilih untuk membayar saman di situ kerana banyak penjimatan walaupun perlu beratur panjang dan lama.

"Saya beratur seawal 7 pagi, tapi tidak mengapa sebab banyak yang saya boleh jimat terutama dalam keadaan ekonomi seperti sekarang.

Ia berbaloi," katanya ketika ditemu Bernama di sini pada Sabtu.

Seorang pelajar, Asyraf Mustafa, 18, pula berkata, diskaun yang diberikan sememangnya dapat meringankan beban semua pihak dan dia amat berterima kasih dengan pengurangan itu.

"Pemberian diskaun ini sebenarnya telah memberi ruang kepada pengguna jalan raya menyelesaikan saman masing-masing yang mungkin telah lama tertunggak," katanya.

PDRM dalam hantaran menerusi Facebook dan ciapan Twitter rasminya memaklumkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi kesalahan trafik terpilih akan diberikan kepada orang awam yang hadir membuat pembayaran di sambutan berkenaan.

Bagaimanapun, ia terkecuali bagi kesalahan membabitkan kemalangan, saman berstatus waran tangkap, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong secara berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan.

Selain itu, ia turut tidak melibatkan kesalahan dalam kategori tidak boleh kompaun (NC), berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos kenderaan. - Bernama