Sultan Selangor seru umat Islam perbaharui azam sempena Maal Hijrah

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1444H kepada seluruh umat Islam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1444H kepada seluruh umat Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah dan menyeru umat Islam memperbaharui azam untuk menjadi lebih kreatif serta berinovasi dalam menghadapi dunia kian mencabar, terutamanya di dalam keadaan negara dilanda dengan pelbagai ujian seperti wabak penyakit dan bencana alam sempena ketibaan awal Muharam.

Baginda bertitah, ia demi memastikan masyarakat dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa dan kebajikan mereka tetap terjaga.

Sultan Sharafuddin bertitah, mengambil semangat dari pertukaran tahun baharu, ini merupakan peluang terbaik menanamkan semangat untuk berubah serta memperbaiki diri atau keadaan kita kepada lebih baik, sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahu pun negara.

"ALLAH SWT memerintahkan kita untuk berusaha mengubah nasib diri kita sendiri. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri," titah baginda sempena perutusan Maal Hijrah 1443 Hijrah yang dikeluarkan Istana Alam Shah pada Jumaat.

Dalam konteks umat Islam pada masa ini, baginda berharap hijrah kali ini dijadikan titik perpindahan untuk meninggalkan segala sifat buruk (mazmumah) dan negatif kepada sifat yang terpuji dan positif, berpindah dengan meninggalkan perbuatan keji dan maksiat, kepada perbuatan serta amalan yang baik dan soleh.

"Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Muslim itu adalah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat daripada lisan dan tangannya serta al-muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang meninggalkan apa saja yang Allah larang." (Riwayat Al-Bukhari)," titah baginda.