'Hentikan segera operasi kolam takungan projek musang king'

Keadaan Kampung Iboi yang dilanda banjir sekali lagi pada Khamis.( Gambar kecil dari kiri : Amat dan Abd Wahab )
Keadaan Kampung Iboi yang dilanda banjir sekali lagi pada Khamis.( Gambar kecil dari kiri : Amat dan Abd Wahab )
A
A
A

BALING - Penduduk Kampung Iboi, Kupang di sini mendesak agar kolam takungan projek durian musang king di Gunung Inas dihentikan segera kerana khuatir tragedi kepala air berulang.

Mangsa banjir, Abd Wahab Samah, 71, berkata, selagi kolam takungan itu masih beroperasi, perasan bimbang, trauma dan takut sering menghantui penduduk.

Dia yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Padang Empang sejak Khamis berkata, setiap kali hujan lebat, penduduk menjangkakan paras air sungai melimpah disebabkan longgokan pasir kesan bencana dan kepala air 4 Julai lalu.

"Kami jadi macam orang gila, nampak sahaja air sungai melimpah, terus kemas dan angkut barang pindah ke tempat selamat.

"Nak selesaikan masalah ini dengan cara kolam takungan yang banyak atas gunung tu cepat-cepat roboh, sebab selama ini kami dah biasa hadap banjir tetapi tidak teruk.

"Sejak ada kolam takungan, berlaku kepala air. Kami risau air takungan tu bila-bila masa sahaja boleh melimpah dari atas dan menimpa perkampungan penduduk macam hari tu, bukan sahaja harta benda malah nyawa terkorban," katanya.

Seorang lagi mangsa, Amat Hassan, 68, berkata, dia tidak melupakan pengalaman ngeri berdepan detik cemas ketika air naik mendadak sehingga terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung.

Menurutnya, banjir terbaharu pada Khamis menyebabkan penduduk bimbang dan cemas sekiranya kepala air berulang.

"Mula-mula hujan, air dah naik kemudian surut, lepas tu air naik lagi sekali. Bila tengok lain macam, kami dah tak berani tunggu lagi, lagipun pihak berkuasa memang minta semua berpindah.

"Kejadian hari tu lagi takut (4 Julai), kaki saya yang sedang berdiri dalam rumah turut bergoyang, cuba bayangkan betapa derasnya air ketika itu," katanya

Mangsa banjir, Mohd Dahari Abdul Latif, 64, pula mendakwa sekiranya kolam takungan seluas padang bola itu pecah, kemungkinan tragedi kepala air berulang lagi.

Kolam takungan didakwa dibina bagi tujuan pengairan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, Kupang Baling Kedah.
Kolam takungan didakwa dibina bagi tujuan pengairan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, Kupang Baling Kedah.

"Risaulah sebab kejadian awal bulan lalu saya hampir lemas ketika dihanyutkan air deras, mujur dapat menyelamatkan diri dengan memanjat pokok pinang setinggi kira-kira 15 meter dengan hanya berkain pelikat dan bertahan dalam kesejukan selama tiga jam sebelum diselamatkan," katanya.

Dalam kejadian terbaharu, Kampung Iboi yang dilanda banjir dan kepala air 4 Julai lalu ditenggelami air pada Khamis akibat banjir kilat.

Berdasarkan maklumat, sebanyak 75 buah rumah dari beberapa buah kampung melibatkan kira-kira 300 mangsa terjejas dengan 58 mangsa ditempatkan di PPS sejak malam Khamis.