Kes SRC: Rayuan akhir Najib kekal Ogos depan

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang dihadapinya.

Menerusi surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis, menyatakan tarikh pendengaran rayuan kes berkenaan ditetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos depan.

Surat kepada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) yang baharu dilantik oleh bekas Perdana itu pada 26 Julai itu telah ditandatangani Timbalan Pendaftar (TP) Wan Fatimah Zahara Wan Yussof.

Surat berkenaan nenyatakan bahawa, mahkamah menegaskan tiada penangguhan akan dibenarkan dan pihak-pihak dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia bagi pendengaran rayuan itu.

Bagaimanapun ketika pengurusan kes yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom pada Jumaat, mahkamah dimaklumkan bahawa pada hari pertama rayuan akhir itu kelak, peguam yang baharu dilantik, akan memohon untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, bagi tujuan itu ZIST telah menghantar surat kepada mahkamah pada 26 Julai lalu.

"Permohonan juga membabitkan penangguhan pendengaran bagi memasukkan bukti baharu berhubung dakwaan penglibatan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam pinjaman dana oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong)," katanya.

Selain Mohd Ashrof, responden turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram manakala bekas Perdana Menteri selaku pemohon diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.

Peguam Najib terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hadzlan turut hadir dalam prosiding berkenaan.

Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi menyelesaikan isu penyerahan rekod rayuan kepada ZIST.

"Kedua-dua permohonan itu akan didengar pada hari pertama rayuan akhir berkenaan," kata Mohd Ashrof ketika dihubungi media, selepas prosiding kes di hadapan Wan Fatimah Zahara dan TP Siti Hajar Mustaffa.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon kebenaran untuk diwakili seorang Queen s Counsel (QC).

QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth

Bagaimanapun pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan peguam QC dari United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

End