RUU larangan tukar parti: Masih ada perkara tidak diperincikan

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Masih terdapat beberapa perkara tidak diperincikan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan pada Khamis.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, wujud ketidakpastian berhubung status ahli Parlimen yang tergugur keahliannya secara automatik kerana ingkar pada arahan parti.

Menurutnya, butiran berkaitan perkara itu tidak dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan sebelum RUU tersebut diluluskan.

“Sekiranya ia sudah termaktub dalam Perlembagaan parti dan tidak dianggap sebagai pemecatan dari parti, maka ahli Parlimen tersebut akan kehilangan kerusi yang disandangnya.

“Oleh itu, perincian berhubung perkara itu harus diperjelaskan agar tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mukhriz yang merupakan Ahli Parlimen Jerlun memberitahu, Wan Junaidi hanya sempat menggulung perbahasan selama satu jam tanpa menjawab keseluruhan perkara-perkara yang dibangkitkan pembahas.

“Saya kecewa kerana ramai ahli Parlimen yang mendesak supaya undian terus dibuat tanpa mendengar Menteri (Wan Junaidi) menghabiskan hujahnya.

“Malah saya telah meminta supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Azhar Azizan Harun) membenarkan Menteri selesaikan hujahnya kerana katanya masih terdapat tujuh muka surat belum dibacakan. Mungkin disebabkan itu, saya lihat masih ada persoalan yang timbul selepas pindaan diluluskan,” jelasnya.

Beliau berkata, Wan Junaidi seharusnya diberikan lebih masa untuk menghabiskan sesi penggulungan RUU terbabit kerana ia sangat penting dan memerlukan kelulusan dua pertiga daripada 222 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Mukhriz menegaskan pihaknya berpuas hati dengan pindaan yang menyatakan, ahli parti yang dipecat tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen.

“Perkara ini menepati kehendak kami (Pejuang) yang sebelum ini mahu aspek berkenaan dimasukkan dalam pindaan RUU,” ujarnya.

RUU paling dinanti-nantikan itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

Undi belah bahagi itu menyaksikan seramai 209 bersetuju manakala 11 lagi tidak hadir.

Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas memutuskan ahli Dewan Rakyat yang keluar dari suatu parti politik dalam suatu gabungan dan menyertai parti politik lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, maka ahli Dewan Rakyat tersebut terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Ini kerana keanggotaan seseorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.

Beliau turut menjelaskan, ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi yang disandangnya.

Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, seramai 40 ahli Parlimen telah lompat parti sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik negara.