Penduduk Kampung Iboi desak longgokan pasir dipindah segera

Pasir yang dikorek dilonggokkan di tebing Sungai Kupang sejak kejadian banjir dan kepala air 4 Julai lalu. Gambar kecil: Abd Rahman
Pasir yang dikorek dilonggokkan di tebing Sungai Kupang sejak kejadian banjir dan kepala air 4 Julai lalu. Gambar kecil: Abd Rahman
A
A
A

BALING - Penduduk Kampung Iboi mendesak agar kerajaan menyegerakan usaha memindahkan pasir dan mendalamkan sungai bagi mengelakkan bencana setiap kali hujan lebat.

Abd Rahman Said, 71, berkata, langkah itu sedikit sebanyak mengurangkan risiko banjir terutama bagi penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Abd Rahman yang kehilangan tiga ahli keluarga termasuk isteri, menantu dan anak dalam tragedi banjir dan kepala air 4 Julai lalu berkata, sejak kejadian itu, permukaan Sungai Kupang dipenuhi pasir sehingga menyebabkan dasar sungai cetek.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan sungai dilakukan di Sungai Kupang, Baling Kedah pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan sungai dilakukan di Sungai Kupang, Baling Kedah pada Jumaat.

"Ada kerja-kerja mengorek pasir dilakukan tetapi pasir hanya dilonggokkan di tebing sungai, nak dekat sebulan dah.

"Apabila hujan lebat berlaku runtuhan pasir masuk ke dalam sungai semula, tiada penyelesaian jika dibiarkan begini, sampai bila?

"Kita faham, kerja-kerja mengeluarkan pasir memerlukan prosedur dan syarat yang ketat serta kelulusan daripada agensi berkaitan, tetapi kita minta segera demi keselamatan dan nyawa penduduk," katanya.

Sementara itu, Abdullah Ahmad, 65, berkata, sekiranya pasir dipindahkan ke kawasan lain, ia kemungkinan mampu mengurangkan risiko banjir.

"Jika dibiarkan, sampai bila penduduk nak hadap, hujan lebat nanti mai (datang) lagi banjir.

"Kalau nampak cuaca gelap dari atas kaki Gunung Inas yang boleh nampak dari rumah, bersiap-sedialah," jelasnya.

Abdullah menunjukkan cuaca gelap menandakan hujan di kaki Gunung Inas yang boleh dilihat dari rumahnya di Kampung Masjid Iboi Kupang Baling Kedah.
Abdullah menunjukkan cuaca gelap menandakan hujan di kaki Gunung Inas yang boleh dilihat dari rumahnya di Kampung Masjid Iboi Kupang Baling Kedah.

Che Lias Ramli, 62, pula berkata, kerja-kerja mendalamkan sungai serta memindahkan pasir kemungkinan boleh melancarkan aliran sungai tanpa berlaku limpahan ke rumah penduduk.

"Kedudukan rumah kami berjarak kira-kira 100 meter dari sungai. Banjir berlaku dua kali semalam.

"Banjir kali pertama jam 3 petang, selepas itu kami dah cuci rumah, namun jam 7 petang air melimpah sekali lagi membuatkan ramai penduduk berpindah kerana bimbang bencana berulang," katanya.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati kerja-kerja mendalamkan sungai sedang dilakukan di mana pasir dikeluarkan dan dilonggokkan di tebing Sungai Kupang.