Hospital lama Kuala Krai sedia terima pesakit

Dr Zaini (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penderma di Kota Bharu pada Jumaat.
Dr Zaini (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penderma di Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Hospital Kuala Krai lama diletakkan dalam keadaan bersedia jika berlaku kesesakan pesakit termasuk membabitkan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di hospital-hospital utama di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hospital berkenaan sebelum ini digunakan semula bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Katanya, Hospital Kuala Krai sudah tidak digunakan selepas Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai mula dibuka.

“Kapasiti hospital lama tersebut dapat menampung 200 pesakit pada satu-satu masa, namun jika perlu mungkin tiga wad dibuka semula.

“Buat masa ini, Hospital Kuala Krai lama diletakkan dalam mod bersedia yang akan digunakan bila-bila masa jika perlu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pakat Derma Darah 2022 di KB Mall di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan, Dr Johari Yap.

Beliau berkata, fasiliti seperti katil pesakit di hospital lama Kuala Krai itu masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

“Kita ada sembilan hospital di Kelantan yang sudah melakukan penambahan katil sebanyak 10 peratus bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit.

“Berlaku peningkatan pesakit namun keadaan di semua hospital di negeri ini terkawal dan jika Hospital Kuala Krai perlu dibuka semula, maka JKNK akan melaksanakan penugasan petugas kesihatan secara bergerak,” katanya.

Dr Zaini (tengah) dan Dr Johari (kiri) melakukan gimik perasmian Program Pakat Derma Darah 2022.
Dr Zaini (tengah) dan Dr Johari (kiri) melakukan gimik perasmian Program Pakat Derma Darah 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kelantan adalah negeri terendah penderma darah dengan hanya 1.7 peratus daripada keseluruhan penduduk menderma darah.

“Misalnya dalam 1,000 orang, hanya 17 penderma darah dan jumlah itu sedikit jika dibandingkan dengan keperluan 150 sehingga 200 beg darah yang digunakan setiap hari.

“Ketika ini bekalan darah mencukupi tetapi kita mahu rakyat mempunyai kesedaran untuk menderma darah secara konsisten dan bukan hanya ketika ahli keluarga atau diri sendiri memerlukan darah,” katanya.