Tahanan Palestin di Israel henti mogok lapar selepas 113 hari

Raed Rayan. - Foto media sosial
Raed Rayan. - Foto media sosial
A
A
A
RAMALLAH - Raed Rayan, seorang tahanan Palestin di penjara Israel, menghentikan mogok lapar pada Khamis selepas 113 hari.

Agensi Anadolu melaporkan, Jurucakap Pihak Berkuasa Tahanan dan Bekas Banduan, Hassan Abd Rabbo berkata, Rayan menamatkan mogok laparnya selepas rundingan oleh pemimpin serta bantuan perundangan pertubuhan itu.

Beliau berkata, beberapa wakil tahanan turut terbabit dengan rundingan dengan Pihak Berkuasa Penjara Israel, bagi membolehkan Rayan menamatkan mogoknya.

Ditahan secara pentadbiran sejak November lalu, Rayan memulakan mogok lapar sejak 113 hari bagi menuntut supaya penahanan secara pentadbiran dihentikan selain mendesak supaya ditetapkan tempoh bila beliau akan dibebaskan.

Sementara itu, seorang lagi tahanan, Khalil Awawdeh, meneruskan mogok laparnya sejak 26 hari lalu. Beliau sebelum ini tidak makan selama 111 hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kelab Al-Assir pada Khamis, Israel tidak mengotakan janji mereka malah mengeluarkan arahan penahanan pentadbiran baharu ke atas Awawdeh untuk empat bulan lagi.

Penahanan pentadbiran adalah taktik tentera untuk memenjarakan seseorang tanpa bicara untuk suatu tempoh sehingga enam bulan, tertakluk kepada perintah lanjutan tahanan susulan. - Bernama