Parlimen NZ sokong undang-undang ketat senjata

Undang-undang itu melarang raifal dan senjata automatik ala tentera (MSSA) di New Zealand.
Undang-undang itu melarang raifal dan senjata automatik ala tentera (MSSA) di New Zealand.
A
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Peraturan baharu untuk mengetatkan undang-undang senjata di New Zealand susulan insiden serangan berdarah ke atas dua masjid di Christchurch menerima sokongan besar ketika ia diperkenalkan di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen mengundi 119-1 rang undang-undang tersebut yang melarang raifal dan senjata automatik ala tentera (MSSA) yang digunakan dalam tragedi oleh pengganas kulit putih yang meragut 50 nyawa pada 15 Mac lalu.

Satu undi yang menolak dibuat David Seymour, seorang konservatif daripada Parti ACT yang mempunyai kerusi tunggal di Parlimen.

Seymour dengan lantang mengkritik proses pantas ke atas rang undang-undang itu yang biasanya mengambil masa selama beberapa bulan memandangkan ia akan dikuatkuasakan pada akhir minggu depan.

"Adalah penting untuk kita mengekalkan tradisi kita yang teguh dalam membuat undang-undang. Cara terbaik untuk menunjukkan penentangan dalam menghadapi keganasan adalah dengan menolak cubaan menghakis institusi demokrasi kita," katanya.

Difahamkan, Seymour cuba untuk melengahkan proses undian tersebut, namun beliau terlepas peluang kerana lewat tiba di dewan terbabit berikutan menghabiskan terlalu banyak masa menjelaskan rancangannya di hadapan petugas media.

Selain undang-undang itu, kerajaan juga dilaporkan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan ucapan kebencian selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern mencuri perhatian dunia atas kepimpinannya menangani kejadian serangan Islamofobia tersebut.

New Zealand mempunyai kira-kira 1.5 juta pemilik senjata api termasuk anggaran 13,500 MSSA. - AFP

Artikel Berkaitan: