[VIDEO] Ahli Parlimen Bersatu mahu berbahas tapi Hamzah minta bersabar

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan ahli Parlimen parti itu sebenarnya mahu berbahas dalam Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Bagaimanapun, Hamzah meminta dan memohon kepada mereka supaya bersabar kerana ada sesetengah pihak menggunakan analogi atau nama yang bukan-bukan terhadap ahli Parlimen Bersatu.

“Saya meminta dan memohon daripada mereka supaya banyak bersabar kerana apa yang dikatakan maksudnya kepada kami ini ada yang sesetengah mengatakan seolah-olah menggunakan analogi-analogi atau nama yang bukan-bukan.

Hamzah (tengah) bersama-sama ahli Parlimen Bersatu ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Hamzah (tengah) bersama-sama ahli Parlimen Bersatu ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

“Tapi hari ini percayalah bahawa daripada semua yang hadir termasuklah ahli-ahli Parlimen Bersatu, kami mengundi.

“Menunjukkan apa? Menunjukkan bahawa kami adalah kumpulan yang tahu undang-undang dan tahu menggunakan segala apa undang-undang yang telah termaktub dalam perlembagaan,” katanya pada sidang media yang turut disertai ahli Parlimen Bersatu di bangunan Parlimen pada Khamis.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga pada Khamis.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Bagaimanapun, ketika perbahasan RUU berkenaan yang dijalankan selama dua hari, tiada wakil daripada Bersatu menyertainya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya turut memikirkan kesan daripada tindakan jika berbahas di Dewan Rakyat.

"Cuba fikir kalau cakap dalam Dewan Rakyat apa berlaku? Akan pecah belah lagi apa untuk kita lakukan (bagi) luluskan undang-undang," katanya.

Selain itu jelasnya, mereka mengambil pendirian untuk tidak berbahas kerana ramai dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu terdiri daripada menteri dan timbalan menteri.

“Saya tidak boleh bercakap dalam Dewan Rakyat. Saya menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menteri.

“Ramai daripada kami ini menteri dan timbalan menteri. Ini yang menjadi masalah kepada kita. Hanya tinggal seorang dua sahaja,” katanya.