Agensi berkait pengurusan air Selangor disatukan bawah SeJAM

Izham - Foto Bernama
Izham - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua agensi yang terbabit dengan pengurusan air di Selangor kini disatukan menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) bagi mengatasi masalah banjir khususnya di kawasan Lembah Klang.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, inisiatif itu turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur bagi memastikan isu banjir dapat ditangani secara holistik.

Beliau berkata, isu utama banjir yang dikenal pasti SeJAM hasil daripada mesyuarat pada Mei lepas adalah bagaimana untuk mengalirkan sumber air dari Kuala Lumpur dan tempat yang tinggi terus ke laut atau kolam takungan, selain memperdalam Sungai Klang terutama di kawasan cetek.

"SeJAM juga akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, sebab itu baru-baru ini dalam mesyuarat SeJAM kami perluaskan skopnya supaya melibatkan semua isu dan agensi berkaitan air seperti banjir, kemarau dan pencemaran di bawah satu bumbung.

"Menerusi inisiatif itu semua cadangan akan dilihat untuk mencari penyelesaian khususnya apabila berlaku banjir besar. Contohnya, air dari Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) dialih ke Selangor, itu tidak selesai. Akhirnya pelepasan air di mana? Kita kena pastikan air itu sampai ke laut atau kolam takungan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

SeJAM sebelum ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam menangani masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Ia kini diselaras dengan penglibatan agensi kerajaan negeri antaranya pihak berkuasa negeri, Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu, Izham berkata, kerajaan negeri menerusi Syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd akan melaksanakan projek mendalamkan Sungai Klang dalam masa dua bulan lagi bagi memastikan sungai tersebut mampu menampung limpahan air yang banyak ketika musim hujan terutama pada hujung tahun.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu akan disekalikan dengan perancangan SeJAM yang telah mengenal pasti 21 kolam dan tasik untuk dijadikan tempat penampan limpahan air sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

"Projek pengalihan limpahan air di Sungai Damansara juga akan dilaksanakan menerusi projek kerajaan pusat bernilai RM500 juta yang telah diluluskan menerusi sistem sambungan bawah tanah sehingga ke Sri Muda dan terus ke kolam Tasik Ladam berhampiran Sungai Rasau, Klang," katanya. - Bernama