KKM laksana tinjauan kesihatan mulut untuk data pergigian

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan tinjauan kesihatan mulut untuk orang dewasa di seluruh negara bagi data kesihatan pergigian serta bebanan penyakit pergigian dalam kalangan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanakan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2020: Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa 2020 (NOHSA) itu dilaksanakan selama empat bulan sejak Jun lepas.

NHMS 2020: NOHSA 2020 akan melibatkan lawatan ke rumah-rumah terpilih dan dijangka melibatkan 23,000 responden berumur 15 tahun dan ke atas daripada 11,300 buah rumah.

"Sebanyak 65 buah pasukan pemeriksa telah dibentuk khusus bagi tinjauan ini untuk aktiviti pengumpulan data melibatkan temu ramah dan pemeriksaan mulut yang merangkumi pemeriksaan gigi, gusi dan lesi mulut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, aktiviti NHMS 2020: NOHSA 2020 sebenarnya telah dirancang pelaksanaannya pada 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara pada masa tersebut.

Tinjauan NHMS 2020: NOHSA 2020 adalah kerjasama antara Program Kesihatan Pergigian KKM dengan Institut Kesihatan Umum (IKU) KKM, iaitu kaji selidik kesihatan pergigian orang dewasa yang keempat dan dijalankan secara berkala setiap 10 tahun.

Dr Noor Hisham berkata, antara penemuan utama tinjauan terakhir pada 2010 menunjukkan beban penyakit pergigian yang tinggi dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 15 tahun ke atas iaitu 88.9 peratus mempunyai karies pergigian dan 94.0 peratus mengalami penyakit gusi.

"Rentetan dapatan tinjauan itu, Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2011-2020 telah menggariskan pelbagai inisiatif dan program pencegahan bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil tinjauan itu akan digunakan bagi menilai keberkesanan dan impak ke atas inisiatif serta program-program kesihatan pergigian yang telah dilaksanakan di seluruh negara.

"Hasil tinjauan ini juga akan dijadikan data garis dasar bagi Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan (2022-2030) memandangkan majoriti data kesihatan mulut sedia ada hanya diperoleh daripada penduduk yang menggunakan fasiliti KKM sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia,” katanya. - Bernama