Penghasilan minyak sawit mampan

No Image Caption
A
A
A

Pensijilan MSPO mudahkan transisi komuniti sawit Malaysia, penuhi pasaran sawit dunia

Pensijilan kemampanan ialah pendekatan utama yang diterapkan dalam industri sawit sedunia untuk menjamin nilai kelestariannya.

Namun, nilai mampan ini bukan setakat tertumpu kepada pulangan sektor industri ekonomi negara, malah turut merujuk kepada keupayaan industri untuk memastikan sumber semula jadi iaitu hutan dapat dimanfaatkan dengan penuh bertanggungjawab dan beretika.

Isu penggunaan sumber semula jadi ini telah menjadi salah satu faktor pemangkin kepada perkembangan pensijilan kemampanan dalam industri sawit negara sejak dua dekad lalu.

Faktor-faktor lain yang berkaitan termasuk isu sosial seperti buruh paksa dan buruh kanak-kanak serta pemuliharaan hidupan liar dan hutan.

Permintaan minyak sawit yang semakin meningkat sejak tahun 2000 telah menyebabkan banyak kawasan perhutanan diterokai untuk tujuan pertanian (plantation forests), sekali gus menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem semula jadi.

Akibat daripada penerokaan hutan-hutan kepada pertanian menyebabkan penurunan kadar litupan hutan semula jadi (natural forest cover) di negara yang berkenaan.

Dalam konteks Malaysia, negara mengambil langkah yang proaktif dan komitmen yang amat besar dengan berikrar pada Jun 1992 di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro (Rio Earth Summit) untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan muka bumi Malaysia akan dilitupi dengan hutan.

Malaysia masih berpegang dengan ikrar ini sehingga kini, baik dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di peringkat nasional mahupun di persada antarabangsa seperti di Persidangan Pembangunan Mampan PBB (UN Conference on Sustainable Development) serta Rio+20 yang merupakan kesinambungan kepada acara Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992.

Dalam konteks industri sawit sedunia, ketiadaan kerangka perundangan untuk mengawal selia perkara ini di kebanyakan negara pengeluar sawit telah merumitkan lagi keadaan.

Akibat tekanan pasaran minyak sawit dan minyak sayuran dunia, industri sawit tersepit dengan keperluan meneruskan pengeluaran demi kelangsungan kitaran ekonomi serta mematuhi permintaan pasaran dunia yang semakin mendesak.

Di sinilah pensijilan muncul untuk memainkan peranan yang signifikan terhadap isu tersebut.

No Image Caption



Pada tahun 2004, sekumpulan perwakilan daripada industri sawit dan sektor-sektor yang berkaitan telah mengadakan satu persidangan meja bulat untuk membincangkan hala tuju kemampanan industri sawit sedunia.

Antara yang terlibat dalam kelompok industri sawit termasuklah peladang, pedagang, pengeluar dan peruncit sawit, manakala kelompok yang terlibat dalam sektor-sektor berkaitan termasuklah badan perbankan, pelabur dan entiti pengurusan alam sekitar.

Semua wakil yang terlibat telah bersepakat untuk menetapkan piawaian pengeluaran dan pengurusan pentadbiran industri sawit yang mampan bagi kesemua pasaran serta pengeluaran sawit di seluruh dunia.

Kesepakatan ini dinamakan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO). RSPO ialah piawaian kemampanan sawit pertama dunia yang merangkumi semua aspek penanaman dan pengeluaran minyak sawit. Kini 20 peratus industri sawit sedunia terdiri daripada pasaran yang bersijil RSPO.

Pensijilan RSPO adalah bersifat sukarela, bertujuan untuk mencerminkan kesepakatan dan kesatuan dalam industri sawit sedunia secara umum.

Semangat kerjasama dan solidariti ini membantu menjamin kemampanan serta kestabilan industri sawit terutamanya semasa ketiadaan kerangka perundangan untuk mengawal selia.

Semangat proaktif ini adalah satu pendekatan holistik yang telah diterapkan oleh Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC) dalam usahanya untuk memastikan industri sawit negara kekal mampan.

Bagaimanapun, pensijilan RSPO memerlukan pematuhan piawaian yang tinggi dan kos pengauditan yang membebankan terutamanya kepada peladang sawit bersaiz sederhana serta pekebun kecil.

Kerajaan berusaha untuk memastikan industri sawit negara terus berada dalam arus perdana kemampanan global dan memutuskan untuk membangunkan skim pensijilan yang lebih sesuai untuk diamalkan.

Hasilnya, piawaian Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO) diwujudkan dan telah diperkenalkan pada tahun 2013.

Skim Pensijilan MSPO

Skim Pensijilan MSPO bermula sebagai satu skim pensijilan sawit mampan yang bersifat sukarela. Ia bertujuan untuk memudahkan industri sawit negara menyesuaikan diri dan menerapkan nilai-nilai serta piawaian yang telah ditetapkan sebelum skim ini akhirnya diwajibkan untuk industri.

Pendekatan ini dirangka oleh Kerajaan Malaysia bagi memudahkan transisi komuniti sawit Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran sawit dunia, di samping mematuhi dasar dan perundangan serta ketetapan pasaran sawit.

Kerajaan Malaysia mula mewajibkan MSPO pada tahun 2020. Kini, 5.67 juta hektar kawasan tanaman sawit telah mendapat pensijilan MSPO, di mana lebih daripada 1.38 juta hektar kawasan itu adalah di bawah pengurusan pekebun-pekebun dan peneroka-peneroka kecil.

Skim Pensijilan MSPO merangkumi empat aspek utama pengeluaran minyak sawit iaitu pematuhan kepada undang-undang negara, pemeliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan pekerja dan kebolehjejakan.

Skim ini bukan dikhususkan untuk pengeluaran daripada syarikat-syarikat perladangan sawit yang besar sahaja, malah turut mempunyai kerangka khas sebagai panduan bagi pekebun-pekebun kecil sawit dan ladang serta kilang pemprosesan.

Sejak Skim Pensijilan MSPO diwajibkan kerajaan, ia telah mendapat sandaran perundangan yang kukuh. Ia menjamin mandat pensijilan MSPO akan mampu mematuhi piawaian industri sawit dunia dan diiktiraf sebagai sebuah industri yang mampan serta bertanggungjawab.

Penerapan Skim Pensijilan MSPO dalam pengurusan ekonomi sawit negara dan kepatuhan industri sawit tempatan terhadap piawaian ini jelas menunjukkan bukti bahawa industri sawit negara makin matang.

Industri sawit negara juga semakin sedar tanggungjawabnya terhadap keseimbangan alam semula jadi dan komuniti-komuniti yang bergantung kepadanya.

Mereka juga semakin bergiat aktif dengan melibatkan pemain industri sawit antarabangsa dalam usaha melonjakkan kemampanan sawit sedunia.

Ia merupakan satu perubahan yang holistik dan mampu menangani isu-isu berkaitan kemampanan minyak sawit untuk jangka masa panjang dalam usaha menjaga kelangsungan industri sawit dunia.

Sungguhpun belum sedekad usianya, MSPO kini menjadi penanda aras kepada pengeluar sawit tempatan mahupun negara-negara membangun dalam usaha membina industri sawit yang lebih holistik dan mampan.