LRA Tualang 2 beri manfaat lebih 5,000 pengguna

Ahmad (tiga dari kanan) melihat carta aliran LRA proses rawatan air di LRA Tualang 2, Kuala Krai.
Ahmad (tiga dari kanan) melihat carta aliran LRA proses rawatan air di LRA Tualang 2, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 di Kampung Batu Lada, dekat sini yang siap dibina dengan kos RM49 juta bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengguna.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, LRA Tualang 2 yang siap pada Oktober 2019 itu telah diambil alih oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada November 2020 dilengkapi dengan skop utama termasuk dua telaga jejari dengan kapasiti setiap satunya 10 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya, sebuah LRA Tualang 2 berkapasiti 20 JLH dan mempunyai paip air mentah bergaris pusat 400 milimeter (mm) serta paip air terawat bergaris pusat 450 mm.

“Air terawat dari LRA Tualang 2 akan memenuhi permintaan air di bandar Kuala Krai dan kawasan sekitar termasuk Kampung Guchil, Kampung Sungai Durian, Taman KK Height, Kampung Sedek, Kampung Tualang, Taman Kuala Krai dan Kampung Batu Lada dan kawasan Projek Rumah Bantuan Rakyat.

“Bilangan akaun pengguna yang terlibat ialah 5,000 meliputi tujuh kampung utama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan LRA Tualang 2 pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengurus Besar AKSB, Datuk Dr Azuhan Mohamad.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebelum ini, bandar Kuala Krai dan kawasan kampung-kampung terbabit menerima air terawat dari LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

Ahmad (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Azuhan (empat dari kanan) berkaitan operasi LRA Tualang 2 di Kuala Krai pada Khamis.
Ahmad (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Azuhan (empat dari kanan) berkaitan operasi LRA Tualang 2 di Kuala Krai pada Khamis.

“Jadi dengan bermulanya operasi LRA Tualang 2 ini, margin simpanan bekalan air terawat di daerah Kuala Krai kini mencecah 20 peratus.

“Operasi LRA ini juga mampu mengatasi masalah bekalan air di kawasan-kawasan yang tinggi dan di lokasi kampung-kampung yang terletak di hujung paip agihan,” katanya.

Tambahnya, carta aliran proses rawatan air di LRA Tualang 2 itu melalui empat peringkat utama bermula daripada sumber air mentah dari telaga jejari ke peringkat kedua, pengoksidaan bertekanan tinggi.

“Peringkat ketiga, rawatan air melalui sistem Chemilles iaitu sistem rawatan air yang berkonsepkan biologi bagi penghasilan air terawat yang menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Keempat, air terawat disalurkan ke Tangki Bukit Lada sebelum diagihkan kepada pengguna di bandar Kuala Keai dan kawasan sekitar," katanya.