Agong berkenan rasmi Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati pada Khamis. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati pada Khamis. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati di pekarangan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di sini pada Khamis.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada kira-kira jam 11 pagi disambut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan 12 pesakit terdiri daripada tiga wanita dan sembilan lelaki yang sedang menjalani rawatan hemodialisis di pusat tersebut.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, majlis perasmian berkenaan adalah bersempena ulang tahun hari keputeraan Seri Paduka Baginda yang ke-63 pada Sabtu ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mendoakan agar pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis diberikan kekuatan dan kesabaran kerana ia bukanlah kehidupan yang mudah, malah penuh cabaran, risiko dan komplikasi kesihatan.

"Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati, pusat hemodialisis keempat ditubuhkan YASA dan pusat hemodialisis YASA yang pertama ditempatkan di pekarangan sebuah masjid, beroperasi pada Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 5 petang dengan 12 mesin dialisis.

Artikel Berkaitan:

"Ia atas kerjasama antara YASA, MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta syarikat-syarikat swasta dan para dermawan yang telah menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi menjayakan penubuhannya,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAIWP, Jawi, agensi-agensi kerajaan yang terlibat, syarikat-syarikat swasta, para dermawan dan pihak jawatankuasa masjid atas sumbangan dan usaha dalam menjayakan penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati.

"Seri Paduka Baginda menyeru lebih ramai individu dan banyak lagi pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika ini rakyat masih lagi terkesan impak pandemik Covid-19 kepada sosioekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata, keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan juga keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya dari golongan M40 dan B40, telah mendorong baginda menubuhkan pusat-pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan berkenaan.

"Penubuhan pusat-pusat hemodialisis YASA juga dengan tujuan murni menyahut seruan dan membantu kerajaan kerana pesakit yang memerlukan rawatan begitu ramai dengan jumlah kes baharu mencecah 8,000 kes setahun.

"Lebih istimewanya, kos rawatan pesakit ditaja sepenuhnya oleh YASA,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata, tiga pusat hemodialisis YASA sebelum ini, di Pekan, Pahang yang dibuka pada 11 Dis 2021, di Setiawangsa (dibuka pada 12 Ogos 2020) dan di Cheras (dibuka 7 Ogos 2019) telah menyediakan hampir 1,600 rawatan sebulan dengan peratusan penggunaan mesin di setiap pusat antara 95 dan 100 peratus pada tahun lepas.

"YASA juga sedang merancang untuk membuka sebuah lagi pusat hemodialisis di Pahang pada awal tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan lima pusat hemodialisis di Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, sebagai sebuah organisasi kebajikan yang tidak berorientasikan keuntungan, pusat hemodialisis YASA menerima pesakit kurang berkemampuan di bawah tajaan YASA dan juga tajaan atau subsidi daripada badan-badan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan majikan. - Bernama