Penunggang motosikal maut dirempuh kereta potong kenderaan

Keadaan motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut pada Rabu.
Keadaan motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang memotong kenderaan di Jalan Dalong, Jelatang - Gadek dekat sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 9.15 malam itu, mangsa Muhammad Shah Fiy Shahrin, 25, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Gadek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Saga dari arah Gadek yang dipandu lelaki berusia 28 tahun telah memotong sebuah kenderaan lain dan bertembung dengan motosikal mangsa dari arah hadapan.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa beralamat di Kampung Kemuning tercampak di sebelah kiri laluannya dan terjatuh di tengah jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Kereta terbabit terbabas di kanan jalan dan melanggar pokok lalu berlaku kebakaran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Keadaan kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun itu yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan. (Gambar kecil : Muhammad Shah Fiy)
Keadaan kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun itu yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan. (Gambar kecil : Muhammad Shah Fiy)

Jelasnya, pemandu kereta yang bekerja sebagai kelindan lori mengalami patah tangan kiri manakala penumpangnya yang berusia 17 tahun hanya mengalami luka pada anggota badan.

"Kedua-dua mereka yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.