RM22.45 bilion nilai rumah siap dibina tidak terjual

Gambar hiasan. - (Gambar kecil: Ismail)
Gambar hiasan. - (Gambar kecil: Ismail)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) merekodkan sebanyak 35,592 unit rumah siap dibina tidak terjual yang bernilai RM22.45 billion bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib bagaimanapun berkata, terdapat sedikit penurunan dicatatkan berbanding suku keempat tahun 2021 iaitu sebanyak 36,863 unit rumah siap dibina tidak terjual yang bernilai RM22.79 billion.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan turut diwujudkan kerajaan bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat antaranya Kempen Pemilikian Rumah (HOC) dan Program Pemilikan Rumah (HOPE).

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk meneruskan kempen HOC bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2025.

“Sehingga kini, kempen ini telah melibatkan penjualan sebanyak 117,538 unit rumah dengan nilai jualan berjumlah RM92.5 bilion dan melibatkan diskaun sebanyak RM15.8 bilion,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang memintanya menyatakan sama ada kempen HOC yang dijalankan berjaya dalam mengurangkan jumlah rumah yang tidak terjual sebelum ini dan berapakah jumlah jualan yang direkodkan.

Tambahnya, bagi mendukung HOPE, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pertengahan Julai lalu telah mengumumkan Inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia atau i-MILIKI.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan kerajaan melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan seperti kempen HOC dan HOPE ini, kebanyakan kediaman yang tidak terjual dapat dipadankan dengan pembeli bersesuaian yang berhasrat untuk memiliki rumah.

“Ini sekali gus diharap dapat merancakkan aktiviti jual-beli hartanah kediaman bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.