Galak bukan Melayu jadikan pasukan uniform profesion

S Megalavathi (kanan) menunjukkan pingat Jasa Pahlawan Negara yang diterima suaminya, Narynen sempena Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor siri 2/2022 di IPK, Johor Bahru pada Rabu.
S Megalavathi (kanan) menunjukkan pingat Jasa Pahlawan Negara yang diterima suaminya, Narynen sempena Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor siri 2/2022 di IPK, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Golongan muda terutama bukan Melayu diseru menjadikan pasukan beruniform sebagai pilihan kerjaya dan tidak menganggapnya khusus untuk Melayu sahaja.

Penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, G Narynen, 66, berkata, mereka tidak seharusnya melihat pasukan beruniform dengan pandangan perkauman yang sempit.

Sebaliknya kata bekas anggota Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerjaya itu perlu dijadikan platform yang mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kaum.

"Saya sendiri sepanjang menjadi anggota polis, hubungan dengan rakan-rakan sangat akrab, selain memupuk semangat patriotik kepada negara, karier ini juga memupuk semangat persaudaraan berbilang kaum.

"Jadi kepada orang muda khususnya daripada kaum India, jadikan ini sebagai satu platform untuk meningkatkan kemahiran dan moral insan diri disamping turut berkhidmat kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru pada Rabu.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, keputusan menyertai polis pada 1977 ketika berusia 21 sebelum menyertai pasukan komando VAT 69, telah berjaya membentuk jati dirinya dan keluarga.

"Saya masuk polis kerana memang minat dengan pasukan beruniform sejak kecil lagi, walaupun tiada sesiapa dalam keluarga saya yang menjadi polis, namun mereka semua menyokong saya," katanya.

Beliau yang berasal dari Muar berkata, antara pengalaman manis adalah ketika awal 1980-an semasa terlibat dengan penentangan komunis di hutan seluruh negara sebagai pakar bom.

"Kami bergerak dalam satu pasukan kecil seramai enam orang untuk melakukan kerja-kerja yang perlu demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Malaysia ketika itu," katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Korporal di Ulu Kinta, Perak.

Seorang lagi penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, Aidah Abd Rahman, 57, berkata, mana-mana wanita yang mahu menyertai pasukan polis perlu membuat persiapan mental dan fizikal.

Ini kerana katanya, ramai dalam kalangan rekrut wanita membuat keputusan keluar daripada pasukan beruniform berkenaan hanya dalam tempoh enam bulan pertama kerana tidak mempunyai ketahanan dalam aspek fizikal.

"Polis ini boleh mengajar kita membentuk jati diri dan berdisiplin yang secara tidak langsung sifat itu turut terpakai dalam urusan seharian kita," katanya.

Aidah memang berasal daripada keluarga yang boleh digelar dengan panggilan 'berdarah biru' kerana latar belakang keluarganya memang terikat dengan pasukan beruniform tersebut.

"Suami saya, Asisten Komisioner Md Khair Othman masih bertugas di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, manakala anak lelaki juga Inspektor di Bukit Aman dengan isterinya juga seorang polis," katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Sub Inspektor di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar.