Kerosakan di pencawang Yong Peng punca gangguan elektrik: TNB

Tular di media sosial keadaan PMU Yong Peng North yang terbakar hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada Rabu.
Tular di media sosial keadaan PMU Yong Peng North yang terbakar hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerosakan peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor menjadi punca gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak jam 12.39 tengah hari ini pada Rabu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, kerosakan tersebut telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

"TNB telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada jam 3.02 petang.

"Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB," menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Terdahulu tular di media sosial keadaan PMU Yong Peng North yang terbakar hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, antara kawasan-kawasan terlibat akibat gangguan bekalan elektrik adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.