Pemuda ditahan bantu siasat kes curi kenderaan

Abdullah (kanan) menunjukkan kereta jenis Proton Waja yang berjaya ditemui selepas menahan salah seorang suspek.
Abdullah (kanan) menunjukkan kereta jenis Proton Waja yang berjaya ditemui selepas menahan salah seorang suspek.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis menahan seorang pemuda berusia 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes curi kenderaan menerusi Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pemuda tersebut dicekup di hadapan rumahnya di Kampung Bakat Baru, Gual Periok dekat sini pada jam 11.30 pagi.

"Suspek ditahan bersama sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai kenderaan curi berpandukan kepada hasil pemeriksaan lanjut dijalankan," katanya pada sidang akhbar Op Lejang di sekitar Rantau Panjang.

Terdahulu Abdullah bersama 50 anggota dan lapan pegawai telah turun padang melakukan pemeriksaan di beberapa bengkel di sekitar Gual Periok, Baroh Piah, Kubang Kuar, Bukit Pak Junoh dan Bukit Tandak.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kereta itu telah hilang pada 30 November tahun lalu di Wakaf Bharu.

Katanya, suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 397 (A) Kanun Keseksaan.

"Kita akan terus lipat gandakan operasi dalam usaha mengekang masalah curi kenderaan di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam Op Lejang ini kita telah periksa 45 kereta, 54 motosikal dan 18 lori," katanya.