Kebakaran tahfiz: Pahang teliti bina bangunan baharu Madrasah Al Imaniyah

Keadaan sebahagian pondok tahfiz Madrasah Al Imaniyah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Darat Sungai Ular di sini pada Ahad.
Keadaan sebahagian pondok tahfiz Madrasah Al Imaniyah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Darat Sungai Ular di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang akan meneliti keperluan untuk membina baharu bangunan Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat Sungai Ular di sini yang terlibat dalam kebakaran, Ahad lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan meneliti perkara itu seperti yang diminta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, dua agensi itu akan membuat kajian dengan nasihat bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenal pasti kaedah terbaik sebelum menyalurkan bantuan untuk pembinaannya nanti.

"Kita perlu dapatkan pandangan banyak pihak dalam perkara ini termasuk pihak pengurusan madrasah ini.

"Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam perkara ini bukan bagi peruntukan dan terus bina.

"Yang penting, bangunan baharu itu nanti lebih selesa dan selamat bagi mengelak kejadian kebakaran tidak berulang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyerahkan bantuan barang keperluan kepada madrasah itu di sini pada Selasa.

Sumbangan berupa dapur, tong gas, alas tidur dan perkakas dapur itu diterima Mudir Madrasah Al Imaniyah, Zaidi Malek.

Turut diserahkan sumbangan tunai RM20,000 daripada Yayasan Pahang untuk keperluan segera madrasah itu termasuk pembelian bahan bacaan dan sebagainya.

Syed Ibrahim berkata, kertas cadangan berhubung perkara itu akan dibuat untuk diteliti.

Syed Ibrahim menyerahkan sumbangan wang tunai keperluan kepada Zaidi untuk membantu meringankan beban ditanggung pihak pengurusan Madrasah Al Imaniyah, Kampung Darat Sungai Ular di sini yang terlibat dalam kebakaran Ahad lalu.
Syed Ibrahim menyerahkan sumbangan wang tunai keperluan kepada Zaidi untuk membantu meringankan beban ditanggung pihak pengurusan Madrasah Al Imaniyah, Kampung Darat Sungai Ular di sini yang terlibat dalam kebakaran Ahad lalu.

"Jika ia diluluskan, kerajaan negeri sedia menyediakan peruntukan pembinaannya dan proses ini akan ambil sedikit masa," katanya.

Beliau berkata, kebakaran yang melibatkan 33 daripada hampir 100 pondok di madrasah itu baru-baru ini mungkin berpunca ekoran keadaan struktur bangunan yang kurang selamat dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan bomba.

"Sebab itu kerajaan negeri akan meneliti untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang perlu ditambah baik supaya madrasah ini beroperasi dengan mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan.

"Isu keselamatan pusat pengajian agama persendirian ini bukan perkara baharu dan terus berlaku di negeri ini.

"Biasanya pembinaan pusat pengajian agama persendirian ini atas usaha individu dengan keupayaan terhad jadi banyak kelemahan dan kekurangan berlaku hingga terdedah kepada risiko keselamatan termasuk kebakaran," katanya.

Dalam kejadian pagi Ahad lalu, sebanyak 33 pondok tahfiz di madrasah itu musnah dalam kebakaran tersebut.

Kebakaran kira-kira jam 9 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa memandangkan ketika kejadian pondok berkenaan tanpa penghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.