Buktikan PH lebih baik daripada BN: Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahmad Zahid ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan PH untuk membuktikan kehebatan mereka, berbanding terus memainkan sentimen menyalahkan kerajaan terdahulu.

Katanya, PH sepatutnya menjalankan pentadbiran negara yang terbaik malah lebih baik sekiranya kerajaan lalu melakukan banyak kesalahan dan kesilapan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengambil contoh daripada pembentangan belanjawan tambahan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa menjurus kepada menyalahkan kerajaan BN.

“Saya merasakan berdasarkan pembentangan belanjawan tambahan oleh Guan Eng, kaedah yang digunakan masih menyalahkan kerajaan lama kononnya perbelanjaan tambahan ini bukan suatu perbelanjaan dibuat untuk membiayai projek-projek baharu tapi sebab komitmen kerajaan lama.

“Bagi saya, risiko yang patut diambil oleh mana-mana kerajaan di dunia ini apabila mengambil alih kerajaan lama maknanya pengambilan itu berdasarkan kepada apa sahaja penyambungan, segala apa yang dilakukan daripada segi komitmen.

“’Blame game’ tidak harus berlaku, lakukan yang terbaik malah lebih baik kalau kononnya kerajaan lalu lakukan banyak kesalahan dan kesilapan lakukan lebih baik. Jangan salahkan beban hampir setahun ini kepada kerajaan lama,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, rakyat menunggu apa perubahan dan pembaharuan yang mahu dilakukan bukan hanya meletakkan semua kesalahan kepada kerajaan lalu.

Ditanya mengenai kritikan bekas Pengerusi Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin terhadap kelemahan kemahiran komunikasi Menteri PH merupakan alasan utama rakyat tidak gembira dengan kerajaan baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, bukan hanya Daim kurang berpuas hati, rakyat juga memberi penilaian sama.

“Tun Daim mengetahui prestasi setiap menteri dan kementerian, sebab beliau berada dalam Kabinet begitu lama. Beliau dapat buat perbandingan.

“Tapi bukan hanya Tun Daim tapi rakyat juga melihat secara keseluruhan.Apa apa pun, terserah kepada mereka tapi kerajaan sekarang kena buat lebih baik daripada kerajaan lalu kalau itu yang mereka mahukan,” ujarnya.