IPCC dilulus, tingkat integriti anggota polis

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.

Rang undang-undang berkenaan telah melalui beberapa proses pindaan dan penambahbaikan setelah dibentang untuk bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 dan ia kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan ketiga oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, memang terdapat kes kematian di dalam lokap, namun ia bukanlah disebabkan kecederaan daripada pihak polis tetapi disebabkan penyakit yang dihidapi tahanan.

"Saya nak maklumkan betul ada (kematian dalam lokap) tetapi tidak bermakna ia berlaku atas sifat kesalahan mereka dipukul dan sebagainya.

"Bila saya baca laporan diberikan kepada saya, sebagai contoh pada 2015 ada empat kematian, 2016 (10), 2017 (sembilan), 2018 (lapan), 2019 (14), 2020 (16) dan 2021 (32),” katanya.

Hamzah berkata, antara penyakit yang dihidapi tahanan sehingga menyebabkan kematian adalah asma, HIV, sakit jantung, hati, ulser, paru-paru, sakit kerongkong, selain terdapat juga kes gantung diri dan gaduh antara tahanan dalam lokap.

Sementara itu, beliau berkata, rang undang-undang itu memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

"Rang undang-undang ini digubal setelah dibuat perbandingan antara Pejabat Bebas Tatakelakuan Polis (United Kingdom) dan Majlis Bebas Aduan Polis (Hong Kong) di mana negara tersebut mempunyai badan pemantau yang bertindak sebagai badan pengawasan.

"Kedua-dua badan bebas ini hanya menjalankan kuasa siasatan ke atas salah laku dan hasil dapatan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.

Ketika perbahasan rang undang-undang itu, belaku kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang dikatakan tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang didakwa mengeluarkan perkataan lucah pada 20 Julai lepas.

Mohd Rashid, ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau telah mengambil tindakan terhadap Tajuddin dengan mengarahkannya keluar daripada dewan pada hari kejadian (20 Julai).

"Saya dah buat penyelidikan, saya dah beri amaran dan dalam hansard ada disebut saya katakan "Pasir Salak sila keluar Yang Berhormat”, mengenai perkataan lucah saya cari dalam hansard tiada. Saya memerintahkan Tajuddin keluar, saya tak sebut berapa hari tapi mengikut peraturan 44 (2), maka Pasir Salak automatik dapat dua hari (gantung dewan),” katanya.

Kekecohan itu menyebabkan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) diarah keluar dewan dan digantung dua hari daripada menghadiri persidangan apabila Ahli Parlimen itu berterusan membangkitkan isu itu dan ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua untuk duduk, selain berlaku pertikaman lidah dengan Tajuddin yang mengganggu sesi perbahasan.

Persidangan dewan bersambung pada Rabu. - Bernama