LTAT kesal tindakan kakitangan adakan piket

Kenyataan media LTAT pada Isnin.
Kenyataan media LTAT pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kesal dengan tindakan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) yang tetap mengadakan piket meskipun isu mengenai penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal kepada mereka.

Malah LTAT juga sentiasa meletakkan kebajikan staf sebagai keutamaan, meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar sejak negara dilanda pandemik sejak lebih dua tahun lalu.

Justeru, adalah tidak wajar kesatuan itu mengadakan piket di Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Isnin, memandangkan permintaan mereka dalam proses tindakan.

“Beberapa sesi perbincangan dan penjelasan kepada KKLTAT termasuk melalui forum rasmi Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) telah dianjurkan bagi membincangkan tuntutan KKLTAT supaya gaji kakitangan diselaraskan kepada 15 peratus dan dibayar secara tunggakan ke tahun 2020.

“Tuntutan ini sememangnya dalam proses pelaksanaan dan akan diselaraskan bukan secara pukul rata sepertimana amalan sebelum ini, tetapi secara individu mengikut pemetaan gaji (salary mapping) yang wajar.

“Oleh kerana itu, sebahagian kakitangan yang berada di bawah P50 (tanda aras gaji pasaran) bakal menikmati penyelarasan gaji sehingga 36 peratus selain daripada bayaran sara hidup sebanyak RM5,200 setiap seorang,” kata LTAT dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, sejak tahun 2020 dan sehingga kini, LTAT terus membayar bonus tahunan maksimum tiga bulan, disamping kadar peratusan kenaikan gaji tahunan staf dari tahun 2020 hingga 2022 juga meningkat dari maksimum 5.5 hingga 7.0 peratus mengikut prestasi masing-masing.

Selain itu, LTAT juga memberi Bantuan Sara Hidup Khas Covid-19 dari tahun 2020 hingga 2021 kepada staf yang terjejas dengan jumlah keseluruhan RM36,590.

“LTAT juga memberi inisiatif tambahan dalam bentuk moratorium agar staf yang meminjam daripada LTAT tidak perlu melakukan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan.

“LTAT juga menekankan bahawa tiada staf yang hilang pekerjaan serta tiada pengurangan gaji asas mahupun elaun bulanan sepanjang tempoh pandemik,” katanya.

Pada Isnin, kira-kira 100 ahli KKLTAT menyertai piket di Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur susulan kecewa pihak pengurusan yang didakwa tidak peduli dengan pelbagai tuntutan dan isu yang dibangkitkan.

Presiden KKLTAT, Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah dilaporkan berkata, pengurusan LTAT didakwa enggan membayar tunggakan pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.