Tasik Chini: Pahang diberi tempoh buat penambahbaikan

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Pahang diberi tempoh sehingga 30 September depan untuk membuat penambahbaikan ke atas laporan semakan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan itu kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini selaras dengan cadangan International Advisory Committee for Biosphere Reserves (IACBR).

"Ia termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan tiga fungsi Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, mewartakan Hutan Simpanan Kekal Chini, melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong serta menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang bagi mengukuhkan tadbir urus Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, KeTSA sentiasa menyokong komitmen dan usaha Kerajaan Pahang dalam memelihara Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

"Bagi tujuan ini, KeTSA telah menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta sejak tahun 2016 untuk melaksanakan pelbagai kajian di Tasik Chini termasuk kajian kualiti air," katanya.

Beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga sedang melaksanakan program pemulihan dan penghutanan semula sekitar TCBR pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM800,000.

"KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kemampanan TCRB selaras dengan objektif program Man and the Biosphere (MAB) dan komited untuk menyokong usaha mempertahankan statusnya sebagai Tapak Rizab Biosfera," katanya.

Tapak Rizab Biosfera adalah tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara bagi mempromosikan pembangunan mampan dan diiktiraf di bawah program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO.

Artikel Berkaitan:

KeTSA sebagai national focal point bagi program MAB telah mengemukakan laporan semakan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini kepada Sekretariat MAB pada tahun 2021.

Sebelum ini, portal mendedahkan Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria Rizab Biosfera.

Laporan itu menyebut kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif telah berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.

Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.