Kes banduan maut: Polis rakam percakapan 12 individu

Kamarul Zaman - Foto Bernama
Kamarul Zaman - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua belas individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, pada 28 Jun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu itu terdiri daripada tiga ahli keluarga, lima banduan di dalam sel yang sama serta empat kakitangan penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini laporan bedah siasat masih belum diterima daripada pihak Hospital Sultanah Aminah, di sini.

"Kami tidak dapat jangka berapa lama (laporan bedah siasat diterima), namun pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah diserahkan kepada keluarga pada 29 Jun lepas.

Kamarul Zaman berkata, individu yang dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun itu, dikejarkan ke sebuah hospital di Kluang kira-kira 7.30 pagi selepas ditemui pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

Pada Isnin, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, polis Johor memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan, Kim Shih Keat, 36, seorang pemilik kedai kopi.

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata, hasil siasatan kes itu adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Dalam satu sidang media Ahad lepas, ahli keluarga kepada Shih Keat memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat.

Shih Keat dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun setelah menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada 22 Jun lepas.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi, hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Shih Keat telah pun meninggal dunia. - Bernama