Mati di penjara: Polis jamin siasatan menyeluruh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor pada Isnin memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, bulan lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan nanti adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai termasuk ahli keluarga lelaki berkenaan supaya tidak bimbang dengan proses siasatan.

"Setiap kematian, kita buka kertas siasatan dan siasatan menjurus kepada elemen-elemen lain termasuk (sekiranya ada elemen) pembunuhan.

"Kalau tiada elemen lain, kematian itu akan diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, di sini pada Isnin.

Justeru, Kamarul Zaman menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai sama ada polis akan menjalankan siasatan menyeluruh susulan desakan ahli keluarga lelaki berkenaan pada Ahad untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Pada 28 Jun lepas, Kim Shih Keat telah dijadualkan dibebaskan daripada penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada 22 Jun lepas.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Shih Keat telah meninggal dunia.

Dalam satu sidang media pada Ahad, ahli keluarga kepada Shih Keat memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat. - Bernama