Nasib Paul Yong diketahui esok

Nasib Paul Yong atas tuduhan merogol pembantu rumahnya diketahui esok.
Nasib Paul Yong atas tuduhan merogol pembantu rumahnya diketahui esok.
A
A
A

IPOH - Nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sama ada didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia, diketahui esok.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan pada jam 10 pagi.

Jika sabit kesalahan, Paul Yong boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.

Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan berkenaan.

Tarikh itu ditunda ke 27 Julai berikutan kematian ibu kepada Paul Yong.

Paul Yong pada 7 Disember lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.