Azalina setuju cadangan Kit Siang pinda Perlembagaan

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said bersetuju dengan cadangan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang agar perlembagaan dipinda bagi membolehkan Peguam Negara dipertanggungjawabkan atas segala keputusan yang dibuat.

"Saya bersetuju dengan YB Uncle Lim 100 peratus. Perlembagaan Persekutuan mesti dipinda secepat mungkin," katanya dalam Twitternya pada Isnin.

Kit Siang telah mencadangkan meminda perlembagaan untuk membolehkan peguam negara dapat dipertanggungjawabkan dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat, jika satu perempat daripada ahli Parlimen membuat usul untuk mendesak agar keputusannya disemak di Parlimen.

Menurut Kit Siang, Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap Dewan Rakyat perlu dipinda untuk memastikan ia dapat direalisasikan.

Cadangan Kit Siang itu sebagai respon kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah yang dibawa oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadapnya pada 23 Mei lalu.

Mohamed Apandi menyaman Kit Siang pada 5 Julai 2019 kerana mendakwa beliau memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamad Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kiat Siang menulis dan membawa kepada penerbitan artikel dalam sebuah portal tempatan.

Beliau mendakwa, perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara antara 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kiat Siang dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar dalam keputusannya menolak saman itu memutuskan bahawa Kiat Siang berjaya mewajarkan keistimewaan yang layak dimilikinya apabila membuat kenyataan itu kerana skandal 1MDB membabitkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.