KPDNHEP bongkar kegiatan seleweng diesel bersubsidi

Lori tangki yang disita dalam serbuan di sebuah premis bersebelahan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh pada Jumaat.
Lori tangki yang disita dalam serbuan di sebuah premis bersebelahan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi berjaya dibongkarkan menerusi tangkapan 14 individu termasuk seorang pemilik stor haram di sebuah premis bersebelahan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh di sini pada Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, serbuan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, hasil risikan dijalankan mendapati beberapa lori yang diubah suai akan membuat pembelian di stesen-stesen minyak sekitar Setapak, Kepong, Sentul, Wangsa Maju dan Jalan Kuching di sini sebelum membuat penghantaran ke lokasi serbuan.

"Lori-lori ini dikesan akan pergi ke stesen-stesen minyak di sekitar Kuala Lumpur dan mengutip diesel bersubsidi pada setiap hari dengan kuantiti dianggarkan melebihi 50,000 liter iaitu melibatkan jumlah pembayaran hampir RM107,500 bagi keseluruhan transaksi.

"Bekalan yang dihantar ke stor berkenaan akan dipindahkan ke lori tangki dan dijual kepada pemborong berlesen yang beroperasi di Lembah Kelang," katanya.

KPDNHEP berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis bersebelahan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh.
KPDNHEP berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis bersebelahan Taman Batu Muda, Jalan Ipoh.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan menyita minyak diesel sebanyak 15,700 liter iaitu dianggarkan berjumlah RM33,755.

"Selain itu, serbuan turut menyita dua buah lori tangki, dua buah lori, empat unit pam, tiga unit hos minyak dan resit-resit pembelian.

"Jumlah keseluruhan sitaan bagi operasi ini dianggarkan bernilai RM224,000," katanya.

Tambahnya, tindakan diambil kerana kegiatan berkenaan disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

"Kes disiasat dibawah bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.