Hampir 9,000 sampel dianalisis menerusi Program Selangor Saring

Amirudin menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima DUN Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.
Amirudin menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima DUN Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemeriksaan kesihatan percuma menerusi Program Selangor Saring menganalisis sebanyak 8,975 sampel sejak inisiatif itu dilancarkan pada Mei lalu sehingga Ahad.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, namun begitu, analisis yang lebih terperinci hanyalah berdasarkan data yang dapat dikumpulkan menerusi program itu sehingga 17 Julai lalu.

Menurutnya, data sehingga 17 Julai itu melibatkan 7,422 sampel ujian air kencing dan darah manakala 1,528 sampel membabitkan saringan kanser.

"Bagi ujian saringan kanser, sebanyak 1.6 peratus iaitu 25 sampel didapati positif dengan kanser kolorektal yang mencatatkan peratus tertinggi berdasarkan saringan awal tersebut," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin ( PKR-Permatang) mengenai jenis-jenis penyakit telah dikenal pasti dalam Program Saring Selangor dan langkah susulan diberikan kepada peserta selepas menerima keputusan pemeriksaan kesihatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengenalan Program Selangor Saring merupakan langkah tepat meningkatkan kesedaran awam untuk menjalani saringan awal dan secara berkala.

Amirudin menambah, usaha tersebut tidak hanya terhenti setakat saringan sahaja sebaliknya individu dikesan menghidap penyakit kritikal dibantu mendapatkan rawatan termasuk pembiayaan kos perubatan.