Pejuang gesa siasat Apandi

Pejuang tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada Isnin.
Pejuang tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - "Kami mahu perkara ini disiasat segera," tegas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkaitan dakwaan berhubung usaha untuk mengaturkan penyelesaian antara Jabatan Peguam Negara dan firma guaman yang mewakili Jho Low atau Low Taek Jho terkait dengan isu jenayah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Peguam Pejuang, Akif Rusli berkata, sehubungan itu, pihaknya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, laporan polis dibuat merujuk kepada laporan media mengenai wujud usaha mengaturkan penyelesaian antara kedua-dua pihak terlibat selain dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertindak sebagai orang tengah.

"Kami memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat kesemua perkara ini.

"Siasatan perlu dijalankan segera demi kepentingan rakyat serta negara," katanya pada sidang media selepas tampil membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 di sini pada Isnin.

Dalam laporan Sinar Harian pada 22 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Tan Sri Mohamed Apandi Ali disiasat susulan dakwaan bekas Peguam Negara itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pengerusi Pejuang itu berkata, laporan bahawa Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.

Menurutnya, Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 'menyucikan' Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, sebuah portal berita turut melaporkan dakwaan Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Laporan berkenaan kemudian dilapor semula oleh beberapa portal media tawaran oleh ahli perniagaan itu yang dirunding melalui Mohamed Apandi, bagaimanapun telah ditolak.

Mohamed Apandi bagaimanapun telah menegaskan beliau bukan wakil Jho Low, sebaliknya telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) hujung Mei lalu.